Penerbitan

Sekretariat Penerbitan telah melakarkan visi untuk memartabatkan lagi bahasa Melayu di kalangan siswa-siswi NUS dan masyarakat Melayu secara amnya.

Akudeta.com, majalah maya rasmi kami diterajui oleh para anggota Sekretariat Penerbitan. Majalah maya ini merupakan satu wadah di mana penulis tetap dan sambilan dapat menyumbangkan karya sastera serta meluahkan buah fikiran mengenai isu-isu kontemporari dan juga tradisional.

Sebelum penghijrahan ke alam siber, Sekretariat Penerbitan telah menghasilkan majalah ‘Salam’ dalam bentuk makalah. Selari dengan tren meningkat generasi yang celik teknologi maklumat, kami telah menghasilkan Akudeta, singkatan dua perkataan ‘aku’ dan ‘kudeta’ yang turut bermaksud revolusi pemikiran yang dihijrahkan ke pena.

Selain daripada majalah maya, Sekretariat Penerbitan turut menerajui kem tahunan ‘Perkampungan Bahasa’. Kem tahunan yang disasarkan kepada pelajar peringkat menengah ini bakal diadakan lagi pada Jun 2010. Melalui perkemahan ini, para peserta dapat meraih kemaslahatan, khususnya dalam memperbaiki mutu penggunaan dan penulisan Bahasa Melayu. Tema perkhemahan yang bertukar setiap tahun menjanjikan pembaharuan yang menarik.

Perkembangan terkini Seketariat Penerbitan merupakan kerjasama dengan Berita Harian dalam menghasilkan I³ dan Gen. G, majalah khas untuk peringkat sekolah rendah dan menengah. Melalui majalah ini, para penulis daripada Seketariat Penerbitan berharap dapat berinteraksi dan memberi inspirasi kepada generasi pelapis masyarakat Melayu di masa hadapan. Sekretariat kami mempercayai bahawa setiap individu mempunyai tanggungjawab untuk memartabatkan bahasa Melayu kita. Bak kata pepatah, ‘Tidak kenal maka tidak cinta’.