Qalbu

Qalbu

Assalamualaikum Wr Wb.

Sudah sekian lama kita tak berjumpa. Kami di sini harap anda baik-baik sahaja.

PBMUKS baru sahaja melaksanakan sebuah pementasan Ahad yang lalu, Pentas Budaya 2009: QALBU. Prakarsa ini merupakan kali yang ketiga dalam percubaan kami berjinak-jinak dengan arena teater.

Sebelum saya bermula berceloteh, saya ingin berterima kasih kepada semua yang menonton QALBU, dan yang lebih khusus, pihak-pihak yang mencerna apa yang ditonton, dan sanggup memperuntukkan masa dan usaha untuk menulis ulasan bagi kami, dan untuk kami.

Ada sebuah pepatah yang saya tukil dari diva Melayu kesayangan ramai, Datuk Siti Nurhaliza; ‘Tak hidup dek puji, tak mati dek keji’. Dan saya percaya pada kebenaran yang ada pada kata-kata tersebut. Kami juga berterima kasih kepada pihak-pihak yang mengucap tahniah kepada kami, kerana saya akur, orang-orang di sebalik QALBU adalah kumpulan yang paling cekal, tekad dan berani dalam melaksanakan projek ini. Sejujurnya, ulasan-ulasan yang sekilas pandang tampak pedas, adalah sebenarnya ulasan yang paling berguna buat kami. Kerana dari situ dapat kami semak semula projek QALBU dan di mana letaknya kesilapan kami, di mana segala kekurangannya dan bagaimana boleh kami memperbaiki lagi usaha kami, agar lebih bermutu buat santapan masyarakat.

Natijahnya, setelah kami kupas-tuntas semula, kian terbakar semangat untuk memperkasakan lagi Pentas Budaya sebagai acara tukikan Sekretariat Seni. Nah, nantikanlah Pentas Budaya 2010!

Kepada yang tidak dapat menonton QALBU, izinkan saya mengongsi rencah pementasan kami. Ia diolah agar dapat mengupas isu dan naluri keibuan. Kami memanifestasikan hal in imelalui tiga watak wanita, seorang wanita yang lumrahnya sebagai ibu itu tercapai dengan kelahiran anaknya, tetapi terpaksa dia melepaskan tanggungjawabnya kepada wanita lain atas keadaan yang mendesak. Seorang lagi watak ibu pula, dipaksa menjadi ibu dan mencurahkan sayang kepada hasil kecurangan suaminya sendiri. Kami juga mengupas watak seorang lelaki yang mempunyai keinginan untuk menjadi seorang ibu; agar dapat membelai anaknya dengan penuh kasih dan sayang.

Hmm.. mungkin ada antara yang menonton, di sini, akan meragu tema yang digambarkan di atas.. Sejujurnya, kami memohon maaf seandainya Pentas Budaya 2009 tidak mencapai kepiawaian yang sepatutnya. Saya akur, sebagai golongan mahasiswa, kami mampu memperlakukan Pentas Budaya dengan lebih baik lagi.

Di sini ingin saya tegaskan bahawa setiap pengalaman dalam hidup itu, adalah suatu pelajaran. Terutama apabila kami masih lagi bergelar ‘pelajar’. InsyaAllah apabila tiba masanya untuk kami berbakti kepada masyarakat, kami bersedia dan telah dipersiapkan dengan sebaik-baiknya. Dan Pentas Budaya 2009, mahupun kegiatan-kegiatan lain di bawah PBMUKS, merupakan persiapan itu.

PBMUKS sememangnya mampu untuk melakukan yang lebih baik lagi, dan akan melakukan yang terbaik mungkin pada pementasan dan kegiatan-kegiatan yang mendatang. Kami memohon sokongan padu anda, dan percayalah, Pentas Budaya 2010 akan jauh lebih baik dari QALBU. Lagipun, ia hanya patut untuk sesuatu itu dipertingkatkan lagi daripada yang sebelumnya.

Akhir sekali, saya, mewakili PBMUKS ingin menyusun jari memohon maaf atas kekurangan yang ada pada majlis kami, dan kami ingin mengucapkan setulus terima kasih kepada semua yang hadir dan tampil memberi sokongan dan dorongan kepada kami.

Izinkan saya akhiri dengan serangkap pantun;

Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan;
Kami budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.

Jazakallahu khairan, Wassalam.

Ikhlas,

Farah Nadia Jamalludin
Presiden, PBMUKS.