Belanjawan yang sangat sangat sempit

Belanjawan yang sangat sangat sempit

Assalamualaikum wr wb,

Semoga kawan-kawan dalam keadaan sihat sejahtera.

Menjejak masuk ke tahun 2009 adalah suatu yang amat terasa dalam kehidupan seharian kita. Pelbagai jenis tekanan yang kita hadapi — mencukupkan pendapatan keluarga, menampung perbelanjaan harian, percubaan mengurangkan penggunaan kuasa elektrik, azam untuk belajar lebih tekun lagi bagi penggal ini, mana hendak kumpul wang untuk majlis walimah, cabaran mengetepikan mimpi untuk membeli Mistubishi EX tahun ini.. dan macam-macam lagi.

Natijahnya, waktu sekarang ini bukanlah waktu yang baik untuk kita boros berbelanja. Oleh itu, sebagai sebuah persatuan, kami telah melakarkan sebuah program yang mempunyai pendekatan dua-hala, sebagai tindak balas kami terhadap waktu ‘krisis’ ini.

Sebagai sebuah persatuan Melayu/Islam, kami merasakan inilah masa untuk kami turun gelanggang dan menyingsing tangan bagi membantu masyarakat agar dapat mengharungi waktu-waktu ini. Oleh itu, kami akan menganjurkan sebuah Kem Usahawan Muda! Perkhemahan dua hari ini bertujuan menyiapkan kanak-kanak dari keluarga pincang, untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan dan agar mereka dapat peluang untuk menyelenggarakan gerai sendiri di bazaar yang akan diadakan di perkarangan Masjid Sultan di kawasan Bugis. Kami telah mengaturkan beberapa aktiviti yang bernas lagi menyeronokkan dan interaktif, di mana mereka akan dapat mempelajari pengetahuan dan kemahiran asas dalam bidang perniagaan.

Ah.. di sini lah kami perlukan anda. Pada 1 Februari nanti, para peserta program ini akan menyelenggarakan gerai masing-masing. Apa yang perlu anda lakukan, adalah hanya untuk hadir dan memeriahkan lagi suasana, berikan semangat kepada para peserta, dan sokongilah perniagaan mereka! Menghulurkan sekecil sokongan atau bantuan adalah suatu yang akan amat kami semua hargai. Kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan.

Seandainya anda ingin turut membantu, apa kata anda lakukan suatu yang khas buat para anak-anak dan adik-adik kita di sana? Inilah masanya dan ruangnya untuk kita sama-sama saling membantu mereka. Sila hubungi Nadirah di talian 82232555 untuk maklumat lanjut dan agar anda dapat menyertai usaha ini.

Kami semua di PBMUKS sentiasa mendoakan ksejahteraan kawan-kawan semua, dan insyaAllah akan kita harungi waktu-waktu kesempitan ini. Dan ingatlah; mangsa yang paling lemah dalam krisis ini, adalah kanak-kanak, pendidikan mereka, dan kebajikan mereka.

Harap berjumpa pada 1 Februari nanti!

Salam Muhibbah,
Farah Nadia Jamalludin
Presiden,
PBMUKS.