Kalau hendak melentur buluh

Kalau hendak melentur buluh

Salaam kawan-kawan,

Tahun 2009 telah tiba, dan insyaAllah akan dapat kita layari dengan semangat yang baru, yang lebih segar, lebih utuh. Satu perkara yang menjadi kelaziman masyarakat siber apabila tiba musim tahun baru ini, mulalah semuanya sibuk melakarkan senarai azam baru dan mematrikan di diari atau blog masing-masing. Kelmarin, sedang saya lungsuri sebuah lelaman rakan saya, saya mengetik pada sebuah pautan yang membawa saya ke blog seorang guru Bahasa Melayu. Berlainan dengan beberapa lelaman yang sebelumnya yang menyiarkan azam untuk melangsingkan badan, mendapatkan jawatan yang lebih tinggi, mengurankan masalah panas baran, cikgu kita ini berazam untuk menyedarkan anak-anak didiknya akan penggunaan Bahasa Melayu yang sesuai dalam situasi yang berbeza.

Ahh.. besar kemungkinan azam ini dilakar ekoran penggunaan Bahasa Melayu yang tunggang-terbalik dalam kelas atau tugasan yang dihantar para pelaja. Atau mungkin penggunaan basaha SMS pada waktu-waktu yang kurang sesuai? Apa pun ‘inspirasi’ Cikgu kita, selepas membaca blog itu, terfikir pula saya:

Lewat ini, kalau kita baca Berita Harian, satu-satunya akhbar Bahasa Melayu di Singapura, kita dapat perhatikan bahawa ramai guru-guru, pembaca, pakar bahasa dan yang bijak-pandai, menulis, merintih mengenai kurangnya keprihatinan terhadap penggunaan dan penguasaan Bahasa Melayu dalam kehidupan hari ini. Dan golongan yang dimaksudkan biasanya adalah para remaja; generasi msn, blog, dan rangkaian jaringan sosial, yang lebih pantas menghantarkan pesanan ringkas dari menulis dengan pena dan kertas.

Yang Benar,
Farah Nadia Jamalludin
Presiden
PBMUKS